Friday, 09 October 2026
Cuaca Jakarta Memuat cuaca...
Opini October 7, 2026 Redaktur 9 menit baca

Kesan Jerebu kepada Malaysia dan Jalan Penyelesaiannya

Oleh: Dr. Baharudin Ali Masrom Al-Haj

“Apabila keuntungan segelintir manusia terpaksa dibayar kos kesihatan berjuta-juta manusia.”

Langit kembali kelabu. Bukan kerana senja. Bukan kerana mendung. Tetapi kerana asap yang bernama jerebu. Udara Malaysia kini dipenuhi debu, zarah-zarah kecil yang terapung di atmosfera. Yang pasti ia mengurangkan jarak penglihatan dan mampu menjejaskan Kesihatan, terutama bagi penghifdap asthma. Nafas boleh menjadi sesak.


Kami memandang langit dan mencari warna biru yang semakin hilang. Kami membuka telefon dan melihat bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) atau API (Air Pollution Index). 101-200, tidak sihat. Kami terpaksa menutup tingkap. Kami terpaksa memakai pelitup muka. Kami terpaksa melarang anak-anak bermain di luar. Kami terpaksa mengurangkan aktiviti. Dan kami terpaksa menunggu hujan. Menanti hujan turun. Seolah-olah hujanlah yang bertanggungjawab menyelesaikan segala-galanya.


Tetapi kami jarang bertanya: Mengapa kami sentiasa menunggu hujan untuk menyelamatkan kami daripada asap yang berpunca daripada tangan manusia?


API MEMBAKAR HUTAN, ASAP MEMBAKAR KEHIDUPAN


Jerebu bukan sekadar langit yang kelabu. Ia bukan sekadar jarak pandangan yang pendek. Ia bukan sekadar mata pedih dan tekak gatal. Di sebalik setiap lapisan asap terdapat manusia yang sedang bernafas. Ada bayi. Ada kanak-kanak. Ada warga emas. Ada pesakit. Ada pekerja yang tetap perlu keluar mencari rezeki. Ada penghantar makanan yang tetap perlu berada di jalan raya. Ada pekerja pembinaan yang tidak boleh bekerja dari rumah. Ada peniaga kecil yang tidak mampu menutup kedai.


Mereka tidak menyalakan api. Mereka tidak membuka hutan. Mereka tidak mendapat keuntungan daripada tanah yang dibersihkan. Tetapi mereka tetap membayar harganya. Mereka membayar dengan kesihatan. Mereka membayar dengan produktiviti. Mereka membayar dengan wang untuk rawatan. Dan ada yang membayar dengan sesuatu yang jauh lebih mahal: keselamatan paru-paru mereka.


SIAPA YANG MENDAPAT UNTUNG?


Inilah soalan yang kadang-kadang terlalu tidak selesa untuk ditanyakan. Apabila sebuah kawasan dibersihkan melalui pembakaran, siapa yang mendapat manfaat? Siapa yang menjimatkan kos? Siapa yang memperoleh tanah untuk kegiatan ekonomi? Dan apabila asap bergerak merentas sempadan, siapa pula yang menanggung kosnya? Jawapannya mungkin bukan orang yang sama.


Di sinilah masalahnya. Keuntungan boleh dinikmati oleh segelintir pihak, tetapi kos pencemaran boleh dipikul oleh berjuta-juta manusia. Inilah yang dalam ekonomi sering disebut sebagai kos luaran—kos yang terhasil daripada sesuatu kegiatan tetapi tidak sepenuhnya ditanggung oleh pihak yang mendapat manfaat daripadanya.


Kos itu akhirnya dipindahkan kepada masyarakat. Hospital menanggung beban. Keluarga menanggung kos rawatan. Sekolah mungkin terpaksa mengehadkan aktiviti luar. Pekerja kehilangan produktiviti. Kerajaan menggerakkan aset pemadaman dan pemantauan. Dan rakyat? Rakyat menghirup asap. Keuntungan menjadi milik tertentu. Kerugian menjadi milik bersama. Apakah itu adil?


JANGAN SALAHKAN ANGIN


Setiap kali asap sampai ke Malaysia, kami bercakap tentang angin. Ya. Angin membawa asap. Tetapi angin bukan yang menyalakan api. Angin hanya membawa akibat. Api bermula di tanah. Sebab itu kami perlu membezakan antara punca dan pembawa. Kami mungkin tidak boleh mengawal angin. Kami tidak boleh memerintahkan awan datang. Kami tidak boleh memaksa hujan turun.


Tetapi bukankah manusia boleh membuat keputusan: Sama ada mahu membakar atau tidak. Dan apabila kebakaran berlaku, kami boleh menyiasat: Adakah ia berpunca daripada cuaca? Adakah ia kecuaian? Adakah berlaku pembakaran terbuka? Adakah terdapat pembukaan tanah? Adakah wujud kepentingan ekonomi?


Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab? Sang Presiden kelihatan bertegas mahu menghukum si pelaku. BPGMN, Badan Pengelolaan Gambut dan Magrove Nasional ditubuhkan pada September 2026. Tetapi kenapa baharu sekarang? Bukankah isu jerebu ini sudah lama, lebih sepuluh tahun. Apakah ada udang di sebalik batu? Soalan-soalan ini bukan tuduhan. Ini ialah tuntutan akauntabiliti.


KALIMANTAN MEMBERI AMARAN


Krisis kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan pada 2026 menunjukkan betapa besar skala masalah ini. BNPB Indonesia melaporkan bahawa bagi tempoh 1 Januari hingga 19 September 2026, Kalimantan Tengah merekodkan lebih 142,000 titik panas dan kira-kira 3,800 kejadian kebakaran hutan dan tanah; kawasan yang ditangani menghampiri 13,000 hektare, manakala analisis satelit Kementerian Kehutanan merekodkan kawasan terbakar sekamir 7,634 hektare.


Angka itu bukan sekadar statistik. Setiap hektar yang terbakar bermakna sesuatu telah hilang. Pokok. Habitat. Flora dan fauna musnah. Karbon yang tersimpan. Tanah. Air. Dan akhirnya, udara.


Cuaca kering boleh meningkatkan risiko dan membantu kebakaran merebak. Tetapi kami tidak boleh menggunakan cuaca sebagai alasan untuk menghapuskan persoalan manusia. Cuaca mungkin menyediakan keadaan. Tetapi keputusan manusia menentukan apa yang berlaku seterusnya.


Sang Pencipta, Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Ruum ayat 41:
“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka Kembali (Insaf dan bertaubat).”


HUTAN BUKAN TANAH KOSONG


Kami melakukan kesilapan besar apabila melihat hutan hanya melalui nilai ekonominya. Hutan bukan sekadar kayu. Tanah gambut bukan sekadar tanah yang menunggu untuk dibangunkan. Sungai bukan sekadar laluan air. Pokok bukan sekadar bahan mentah.


Alam mempunyai nilai walaupun nilainya tidak tercatat dalam akaun syarikat. Hutan menyimpan karbon. Menstabilkan ekosistem. Membantu mengawal air. Menjadi habitat hidupan liar. Melindungi tanah. Apabila hutan dibakar, ia bukan sekadar membakar pokok. Ia membakar sebuah sistem kehidupan. Dan apabila karbon dilepaskan, kesannya tidak berhenti di pagar ladang. Asap tidak mengenal sempadan. Api mungkin berada di sana. Tetapi paru-paru kami berada di sini.


KAPITALISME TANPA ETIKA


Kami juga perlu berhati-hati. Bukan semua syarikat jahat. Bukan semua pelabur merosakkan alam. Bukan semua kebakaran berpunca daripada kegiatan komersial. Tetapi sistem ekonomi yang mengutamakan keuntungan tanpa mengambil kira kos sosial dan alam sekamir boleh menghasilkan insentif yang salah.


Apabila kos membersihkan tanah secara selamat dianggap terlalu tinggi, tetapi pembakaran kelihatan murah, maka masalahnya bukan hanya pada manusia yang memegang mancis atau pemetik api. Masalahnya juga pada struktur insentif yang menjadikan kemusnahan kelihatan lebih murah daripada penjagaan.


Sebab itu kami tidak boleh hanya bertanya: “Siapa yang membakar?” Kami juga perlu bertanya: “Mengapa membakar masih boleh menjadi pilihan yang menguntungkan?”
JANGAN HANYA HUKUM PEMBAKAR
Penguatkuasaan mesti tegas. Jika pembakaran sengaja dilakukan dan terbukti melanggar undang-undang, tindakan mesti diambil. Jika kecuaian menyebabkan kebakaran, tanggungjawab perlu ditentukan berdasarkan bukti dan undang-undang. Jika terdapat kelemahan pengurusan tanah, kelemahan itu mesti diperbaiki.


Tetapi penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kami perlu mengubah pengiraan ekonomi. Jika membakar kelihatan murah, maka kos sebenar pembakaran mesti dimasukkan ke dalam sistem. Kos kesihatan. Kos pemadaman. Kos kehilangan biodiversiti. Kos pencemaran. Kos produktiviti. Kos pemulihan alam sekitar. Kos sosial. Barulah kami memahami satu prinsip penting: Murah kepada pengusaha tidak semestinya murah kepada masyarakat.


ANAK-ANAK YANG TIDAK PERNAH MEMILIH ASAP


Yang paling tidak adil ialah apabila generasi yang tidak membuat keputusan terpaksa membayar akibat keputusan orang dewasa. Anak-anak kami tidak membakar hutan. Mereka tidak membuka ladang. Mereka tidak menandatangani kontrak. Mereka tidak membuat keputusan pelaburan. Mereka tidak menikmati keuntungan.


Tetapi mereka menyedut debu. Mata mereka pedih. Aktiviti luar mereka dikurangkan. Kesihatan mereka terdedah. Inilah paradoks pembangunan yang kehilangan arah: Keuntungan dinikmati hari ini. Kos alam sekitar diwariskan kepada anak-anak esok. Kalau begitu, pembangunan apakah yang sedang kami bina?


MALAYSIA TIDAK BOLEH HANYA MENUNGGU HUJAN


Malaysia memang perlu bersedia menghadapi episod jerebu. Pemantauan kualiti udara perlu diperkukuh. Sistem amaran kesihatan perlu jelas. Sekolah, hospital dan tempat kerja perlu mempunyai pelan tindakan. Kumpulan rentan mesti diberikan perlindungan.


Dan kerjasama Malaysia-Indonesia perlu diperkukuh. Malaysia telah menawarkan bantuan termasuk aset pemadaman udara seperti pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta anggota daripada NADMA, APMM dan TUDM. Indonesia kemudian memberikan persetujuan untuk bantuan tersebut pada September.


Namun pada 30 September 2026, kerajaan Malaysia masih menunggu maklum balas rasmi Indonesia terhadap nota diplomatik bagi pelaksanaan bantuan tersebut. Ini menunjukkan satu perkara penting: Pemadaman kebakaran memerlukan bukan sahaja aset, tetapi juga koordinasi, kedaulatan, diplomasi dan mekanisme serantau yang pantas. ASEAN juga perlu bergerak daripada budaya bertindak selepas krisis kepada budaya mencegah sebelum krisis.


JANGAN NORMALISASIKAN JEREBU


Bahaya paling besar bukan sekadar jerebu atau debu. Bahaya paling besar ialah apabila kami mula menerimanya sebagai perkara biasa. “Biasalah jerebu.” Tidak. Jerebu bukan perkara biasa. Udara tercemar bukan perkara biasa. Anak-anak tidak boleh bermain di luar bukan perkara biasa. Pekerja terpaksa bekerja dalam udara tercemar bukan perkara biasa. Langit yang kehilangan warna birunya bukan perkara biasa.


Kami hanya menganggapnya biasa kerana ia sudah terlalu lama membiarkannya berlaku. Bukan sebulan. Bukan setahun. Sudah puluhan tahun. Indonesia dan Malaysia bukan sekadar abang-adik. Tetapi abang-adik yang hidup berjiran. Namun di manakah nilai kemanusiaan kita campakkan?


MENUNGGU HUJAN TURUN


Setiap tahun kami mempunyai ritual yang sama. Api muncul. Jerebu datang. Api meningkat, bukan berkurang. Berita memenuhi media. Orang ramai memakai pelitup muka. Kerajaan mengadakan mesyuarat. Pasukan pemadam dikerahkan.


Kemudian kami dipaksa menunggu. Menunggu angin berubah. Menunggu asap berkurang. Menunggu hujan turun. Tetapi apakah kami mahu terus hidup begini? Menunggu hujan bukan dasar. Menunggu angin bukan strategi. Menunggu asap hilang bukan penyelesaian. Menugggu debu sirna bukan solusi.


Pencegahanlah penyelesaiannya. Hanya itulah solusinya. Kita perlu menjadikan pembakaran haram dan kecuaian yang menyebabkan kebakaran mempunyai akibat ekonomi dan undang-undang yang nyata.


Kita perlu meningkatkan ketelusan rantaian bekalan komoditi. Kita perlu memastikan kawasan konsesi dipantau dengan teknologi yang lebih baik. Kita perlu mengesan titik panas lebih awal. Kita perlu meningkatkan pemadaman darat dan udara. Kita perlu melindungi tanah gambut. Kita perlu memperkukuh kerjasama rentas sempadan.
Dan yang paling penting: Kita mesti mengubah logik ekonomi yang merosakkan lebih murah daripada menjaga alam sekitar. Menjaga persaudaraan. Menjaga perhubungan. Menjaga kemanusiaan. Menjaga ni;ai. Menjaga adab.


JANGAN HANYA PADAMKAN API. PADAMKAN INSENTIFNYA.


Inilah inti persoalannya. Selagi kemusnahan alam boleh menghasilkan keuntungan sedangkan masyarakat menanggung kosnya, masalah akan berulang. Selagi membakar lebih murah daripada membersihkan secara bertanggungjawab, api akan sentiasa mempunyai nilai ekonomi. Selagi keuntungan dihitung tetapi kesihatan manusia tidak dihitung, sistem kami akan terus menghasilkan ketidakadilan.


Maka sesungguhnya kita memerlukan satu prinsip baharu: Siapa yang mendapat manfaat daripada sesuatu aktiviti ekonomi mesti turut bertanggungjawab terhadap kos alam sekamir yang ditimbulkannya. Bukan rakyat yang tidak bersalah yang perlu membayar semuanya. Bukan anak-anak kami dan kita. Bukan pekerja kecil. Bukan pesakit. Bukan masyarakat yang tidak pernah menyalakan api.


LANGIT BIRU BUKAN KEMEWAHAN


Udara bersih bukan barang mewah. Ia hak asas kehidupan. Seorang kanak-kanak tidak sepatutnya memerlukan penapis udara untuk mendapatkan udara yang selamat. Seorang pekerja tidak sepatutnya memilih antara kesihatan dan mencari nafkah. Sebuah keluarga tidak sepatutnya terpaksa menutup semua tingkap kerana asap daripada kebakaran yang berlaku ratusan kilometer jauhnya.
Dan sebuah negara tidak sepatutnya setiap tahun hanya bertanya: “Kapankah hujan akan turun?” Kami sepatutnya bertanya: “Bila manusia akan berhenti membakar?” Kerana hujan boleh memadamkan api. Tetapi hujan tidak boleh memadamkan ketamakan. Ketamakan sang kapitalis.


Hujan boleh membersihkan udara untuk sementara. Tetapi hujan tidak boleh membersihkan sistem ekonomi yang salah. Hujan boleh mengembalikan warna biru ke langit. Tetapi hujan tidak boleh mengembalikan hutan yang sudah musnah. Sampai kapankah manusia mahu terus memusnahkan alam demi keuntungan yang bernama rupiah?


AKHIRNYA, SIAPA YANG MEMBAYAR?


Jika seseorang menjimatkan kos dengan membakar hutan, tetapi berjuta-juta manusia membayar kos kesihatan akibat asapnya — siapa sebenarnya yang mendapat keuntungan? Jika sebuah kawasan dibangunkan dengan keuntungan tertentu, tetapi masyarakat menanggung pencemaran udara — di manakah keadilan ekonominya? Jika keuntungan dinikmati oleh generasi hari ini tetapi kerosakan alam diwariskan kepada anak cucu — bolehkah kami masih memanggilnya pembangunan?


Kita perlu berani mengakui: Keuntungan tidak boleh menjadi lesen untuk memusnahkan kehidupan. Kapitalisme memerlukan etika. Pembangunan memerlukan batas. Pelaburan memerlukan tanggungjawab. Keuntungan memerlukan amanah. Dan manusia memerlukan udara.


JANGAN HANYA MENUNGGU HUJAN


Hutan terbakar kerana api. Tetapi masa depan boleh terbakar kerana ketamakan. Api mungkin bermula di Kalimantan. Jerebu mungkin sampai ke Malaysia. Tetapi persoalan moralnya tidak berhenti di sempadan. Ia menjadi persoalan kita semua.


Berapa lama lagi kami mahu menunggu hujan turun? Dan berapa lama lagi kami sanggup membiarkan anak-anak kami membayar harga daripada keputusan yang tidak pernah mereka buat?


Jangan hanya padamkan asap. Hentikan puncanya. Jangan hanya hitung keuntungan. Hitung juga kesihatan. Jangan hanya fikir tentang hari ini. Fikirkan paru-paru generasi yang akan datang.


Kerana langit biru bukan hadiah. Ia amanah. Dan udara bersih bukan kemewahan. Ia hak untuk hidup. Hak semua manusia. MENUNGGU HUJAN TURUN bukanlah penyelesaian. Kita mesti memastikan api tidak dinyalakan.

Penulis adalah pengarang buku berkediaman di Putrajaya, Malaysia

Penulis

Redaktur

Kontributor Media Civitas.

Lihat semua tulisan

Tinggalkan Komentar

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Komentar akan tampil setelah disetujui moderator.