Oleh: Dr. Colonius Atang
Pengenalan
Kebakaran hutan dan tanah atau karhutla merupakan antara cabaran alam sekitar yang mempunyai implikasi merentas sempadan, khususnya di rantau Asia Tenggara. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan ekosistem dan sumber alam, malah berpotensi memberikan kesan langsung terhadap kesihatan awam, aktiviti ekonomi, pendidikan serta kesejahteraan masyarakat di negara jiran. Keadaan tersebut menjadi semakin kompleks apabila asap daripada kebakaran bergerak mengikut keadaan atmosfera dan arah angin sehingga melangkaui sempadan politik sesebuah negara.
Krisis jerebu yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat pada Ogos hingga September 2026 memperlihatkan dengan jelas sifat rentas sempadan sebagai masalah alam sekitar. Kesan pencemaran udara turut dirasai di beberapa kawasan Malaysia, terutamanya sekitar negeri Sarawak, Sabah serta beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) beberapa kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU sehingga tahap berbahaya. Stesen di Serian, Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi pada 4 September 2026 dengan IPU mencecah 518 akibat jerebu rentas sempadan, selain puluhan stesen pemantauan yang merekodkan tahap tidak sihat. Hal ini menunjukkan bahawa isu tersebut bukan lagi semata-mata persoalan alam sekitar, tetapi turut berkait rapat dengan keselamatan dan kesihatan awam.
Dalam konteks sedemikian, pendekatan unilateral adalah sudah tidak memadai, sebaliknya kerjasama dua hala antara Malaysia-Indonesia diperlukan bagi memastikan usaha pencegahan, pemantauan, pemadaman serta pengurusan kesan jerebu dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan sistematik. Oleh itu, tindakan diplomasi dua hala pada tahun 2026 penting untuk diteliti kerana ia memperlihatkan bagaimana prinsip kedaulatan, hubungan persaudaraan serumpun, bantuan kemanusiaan dan koordinasi operasi dapat digabungkan dalam menangani krisis alam sekitar rentas sempadan.
Krisis Jerebu dan Implikasi terhadap Masyarakat
Kesan kebakaran hutan di Kalimantan Barat tidak terhad kepada kawasan yang menjadi lokasi kebakaran. Pergerakan asap merentasi sempadan menyebabkan krisis kemorosotan kualiti udara di kawasan sekitarnya telah dikenal pasti iaitu antara kawasan yang mengalami impak paling ketara ialah negeri Sarawak, manakala di Semenanjung Malaysia, kesan jerebu turut melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak serta beberapa kawasan di Terengganu.
Dalam menghadapi keadaan tersebut, langkah perlindungan awam telah dilaksanakan secara proaktif. Konsulat Malaysia di Pontianak memainkan peranan dalam memantau keadaan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berdaftar di Kalimantan Barat. Antara langkah yang diberi perhatian termasuk mengesyorkan penggunaan pelitup muka, mengisytiharkan pelaksnaan pembelajaran secara dalam talian, penutupan sekolah di kawasan yang terjejas teruk serta membataskan atau mengurangkan aktiviti luar luar rumah dalam kalangan Masyarakat.
Walaupun langkah tersebut penting untuk mengurangkan pendedahan masyarakat kepada pencemaran udara, penyelesaian jangka panjang memerlukan intervensi pada punca kebakaran perlu dipertingkatkan. Hal ini menjadikan kerjasama antara kedua-dua negara sebagai suatu keperluan strategik yang sangat penting dan perlu diutamakan. Dalam keadaan pencemaran udara yang berpunca daripada fenomena rentas sempadan, keberkesanan sesuatu tindakan tidak hanya bergantung kepada keupayaan domestik, tetapi turut dipengaruhi oleh tahap koordinasi antara negara yang terlibat.
Diplomasi Dua Hala Berasaskan Kedaulatan dan Persaudaraan Serumpun
Sebagai respons terhadap krisis tersebut, perbincangan diplomatik peringkat tinggi antara Malaysia dan Indonesia telah dipergiatkan. Pada 24 Ogos 2026, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, iaitu Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, mengadakan perbincangan dengan Menteri Alam Sekitar Indonesia, Jumhur Hidayat. Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan usaha pencegahan dan pemadaman kebakaran serta persetujuan awal berkaitan penggunaan ruang udara sempadan Kalimantan bagi Operasi Pembenihan Awan (OPA).
Seterusnya, pada 17 September 2026, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bertemu Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, di Jakarta, Indonesia. Pertemuan tersebut memberi penekanan kepada tawaran aset logistik dan keanggotaan pemadam kebakaran Malaysia serta usaha memperkukuhkan mekanisme pengurusan bencana dua hala, termasuk pemuktamadan kebenaran bagi pelaksanaan OPA rentas sempadan.
Pendekatan diplomasi yang diketengahkan adalah berasaskan prinsip menghormati kedaulatan dan tidak mencampuri urusan dalaman negara penerima. Bantuan Malaysia ditawarkan dalam bentuk aset fizikal dan kepakaran teknikal, tetapi pelaksanaannya tertakluk kepada keizinan serta mekanisme rasmi kerajaan Indonesia. Pada masa yang sama, kedua-dua negara berusaha mengelakkan pendekatan saling menyalahkan berkaitan punca kebakaran dan sebaliknya memberi tumpuan kepada pencegahan awal serta penyelesaian yang lebih menyeluruh. Pendekatan ini memperlihatkan bahawa diplomasi alam sekitar memerlukan keseimbangan antara kepentingan nasional dengan keperluan kolektif. Kedaulatan negara kekal sebagai prinsip asas, namun prinsip tersebut tidak seharusnya menghalang kerjasama apabila sesuatu bencana memberikan yang kesan kepada masyarakat di kedua-dua negara.
Mobilisasi Aset dan Kerjasama Operasi
Salah satu aspek penting dalam kerjasama Malaysia–Indonesia ialah diterjemahkan dalam komitmen diplomatic iaitu dari aspek bantuan operasi. Malaysia menawarkan kesiapsiagaan aset dan anggota untuk membantu operasi pemadaman di Indonesia namun masih tertakluk kepada persetujuan pihak berkuasa Indonesia.
Antara aset yang ditawarkan ialah sebuah pesawat pemadam amfibi Bombardier CL-415MP, tiga unit helikopter water bombing serta 52 pegawai dan anggota pakar daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Namun demikian, bantuan rentas sempadan tidak boleh dilaksanakan semata-mata berdasarkan kesediaan pihak pemberi bantuan. Dari perspektif pengurusan bencana antarabangsa, aspek kebenaran, protokol dan koordinasi operasi merupakan komponen penting yang perlu diberi perhatian untuk kedua-dua pihak terbuka kepada kerjasama berdasarkan keperluan dan mekanisme yang ditetapkan. Perkara tersebut menunjukkan bahawa keberkesanan kerjasama bencana rentas sempadan bergantung bukan sahaja kepada ketersediaan aset, tetapi juga kepada keserasian institusi, prosedur dan mekanisme membuat keputusan antara negara terlibat.
Kepentingan Kebenaran Ruang Udara dan Operasi Pembenihan Awan
Kebenaran penggunaan ruang udara merupakan salah satu hasil penting daripada proses diplomasi rentetan daripada perbincangan dua hala Indonesia- Malaysia. Dalam konteks operasi rentas sempadan, keupayaan untuk menggunakan ruang udara negara lain memerlukan keizinan rasmi kerana melibatkan aspek kedaulatan dan keselamatan negara.
Dalam hal ini, kebenaran bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di ruang udara sempadan Kalimantan memberikan peluang kepada tindakan yang lebih bersasar. OPA bertujuan membantu merangsang hujan di kawasan yang mempunyai titik panas dan lokasi kebakaran, dengan harapan dapat membantu mengurangkan kebakaran serta seterusnya mengurangkan kepekatan asap yang bergerak ke kawasan Sarawak. Pendekatan tersebut memperlihatkan kepentingan tindakan pre-emptive dalam pengurusan bencana. Berbanding menunggu kesan jerebu menjadi lebih serius di kawasan yang terjejas, intervensi pada lokasi punca berpotensi mengurangkan kesan yang lebih luas. Justeru, penggunaan data titik panas, maklumat meteorologi dan pemantauan kualiti udara secara berterusan merupakan komponen penting dalam menyokong keputusan operasi.
Pengukuhan Kerjasama Institusi dan Serantau
Kerjasama Indonesia-Malaysia dalam menangani kebakaran hutan bukanlah sesuatu yang baharu. Dalam konteks Kalimantan Barat, sejarah kerjasama menunjukkan bahawa Malaysia pernah menyumbangkan enam unit pam air kepada Pejabat Gabenor Kalimantan Barat pada tahun 2023 bagi membantu usaha pemadaman kebakaran. Pada tahun 2026 pula, Indonesia meningkatkan keanggotaan TNI di lapangan sebanyak 1,500 anggota bagi memperkukuh operasi pemadaman darat.
Pengalaman tersebut menunjukkan bahawa kerjasama operasi jangka pendek perlu disusuli dengan pembangunan mekanisme institusi yang lebih kukuh. Sehubungan itu, pembaruan Memorandum Persefahaman (MoU) 1997 antara Malaysia dan Indonesia mempunyai kepentingan strategik kearah menengani krisis bencana dikedua-dua negara. Pembaruan tersebut dicadangkan berasaskan empat bidang utama, iaitu misi mencari dan menyelamat, latihan bersama, pertukaran kepakaran serta perkongsian maklumat amaran awal.
Keempat-empat komponen tersebut dapat memperkukuh keupayaan kedua-dua negara dalam menghadapi bencana secara sistematik. Latihan bersama, misalnya, dapat meningkatkan keserasian antara agensi. Pertukaran kepakaran pula membolehkan pengetahuan teknikal berkaitan pemadaman kebakaran dan pengurusan bencana dikongsi secara berterusan. Pada masa yang sama, perkongsian maklumat mengenai titik panas, arah angin dan kualiti udara dapat menyokong sistem amaran awal yang lebih berkesan. Pada tahap serantau, inisiatif ASEAN Unity Drive 2025 turut dikaitkan dengan usaha memperkukuh kesiapsiagaan bencana melalui peranan ASEAN Centre for Disaster Management sebagai nod koordinasi data, pemantauan titik panas dan penyaluran amaran awal bencana rentas sempadan.
Pengajaran Strategik daripada Kerjasama Malaysia–Indonesia
Krisis jerebu 2026 memberikan beberapa pengajaran penting dalam konteks pengurusan bencana rentas sempadan. Pertama, kedaulatan negara perlu menjadi asas kepada kerjasama, bukannya penghalang kepada bantuan. Sebarang bantuan rentas sempadan perlu dilaksanakan melalui keizinan dan mekanisme rasmi negara penerima.
Kedua, tindakan pencegahan perlu berasaskan data dan dilaksanakan lebih awal. Pemantauan titik panas, keadaan cuaca, arah angin dan kualiti udara membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti risiko sebelum kesannya menjadi lebih meluas. Dalam konteks ini, tindakan awal berpotensi mengurangkan keperluan terhadap respons kecemasan yang lebih besar pada peringkat kemudian.
Ketiga, diplomasi serumpun perlu diterjemahkan kepada kerjasama teknikal dan institusi. Hubungan baik antara negara sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disokong oleh Prosedur Operasi Standard (SOP), perkongsian data, latihan bersama, kepakaran dan mekanisme tindak balas yang jelas.
Lebih penting lagi, pendekatan mengelakkan tindakan saling menyalahkan membolehkan perhatian diberikan kepada penyelesaian praktikal. Dalam menghadapi bencana alam sekitar yang kompleks, keberkesanan tindakan lebih penting daripada usaha menentukan pihak yang harus dipersalahkan.
Kesimpulan
Krisis kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan pada tahun 2026 memperlihatkan bahawa cabaran alam sekitar kontemporari semakin sukar ditangani melalui pendekatan bersifat tindakan sepihak atau unilateral. Pengurusan jerebu rentas sempadan sememangnya tidak boleh diselesaikan secara sepihak oleh sesebuah negara sahaja, sebaliknya memerlukan diplomasi peringkat antarabangsa antara Indonesia dan Malaysia melalui mekanisma ASEAN. Hal ini kerana kebakaran yang berlaku di satu wilayah boleh memberikan implikasi langsung kepada masyarakat di negara jiran, sekali gus menjadikan kerjasama antarabangsa suatu keperluan, bukan lagi pilihan.
Dalam konteks Malaysia–Indonesia, pendekatan yang menggabungkan diplomasi berasaskan penghormatan terhadap kedaulatan, tawaran bantuan aset dan kepakaran, kebenaran penggunaan ruang udara, operasi pembenihan awan serta pengukuhan mekanisme institusi memberikan asas penting kepada pengurusan bencana yang lebih tersusun. Pada masa yang sama, usaha memperbaharui kerangka kerjasama dua hala dan memperkukuh koordinasi ASEAN menunjukkan keperluan untuk bergerak daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan pencegahan dan kesiapsiagaan.
Pada akhirnya, jerebu merupakan peringatan bahawa sempadan politik tidak semestinya membatasi kesan sesuatu bencana alam sekitar. Oleh itu, pengurusan kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan memerlukan komitmen yang berterusan, perkongsian maklumat, kepercayaan institusi serta kesediaan negara-negara jiran untuk bertindak secara kolektif. Dalam konteks ini, kejayaan diplomasi bukan hanya dapat diukur melalui jumlah pertemuan atau perjanjian yang dicapai, tetapi melalui sejauh mana kerjasama tersebut mampu melindungi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di kedua-dua negara.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Email: colonius@ums.edu.my

