Oleh: Dr. Sharifah Rahamah Amirul
Kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia bukanlah satu perkara baharu kerana telah berlaku sejak berdekad lamanya khususnya di kawasan Kalimantan dan Sumatera. Jika dilihat pada kronologi kebakaran hutan yang semakin serius sejak tahun 1980an sehinggalah pada tahun 2026. Ia menunjukkan bahawa kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia merupakan masalah alam sekitar yang berulang dan kompleks.
Walaupun fenomena El Niño dan kemarau panjang memainkan peranan dalam meningkatkan risiko kebakaran, aktiviti manusia seperti pembukaan tanah, pembakaran terbuka, pembangunan perladangan dan pengeringan tanah gambut turut menjadi faktor penyumbang utama. Kebakaran hutan di Indonesia telah menjadi perhatian antarabangsa kerana menghasilkan jerebu merentasi sempadan dan menjejaskan kualiti udara negara-negara jiran. Kebakaran hutan yang serius bukan sahaja mengakibatkan kehilangan biodiversiti, kemusnahan ekosistem hutan dan kesan memberi kepada kesihatan awam, tetapi turut memberi dampak kepada ekonomi dan juga tenaga kerja.
Dalam tempoh empat dekad kebakaran hutan yang berlaku di Indonesia, pembahasan yang sedia ada lebih tertumpu kepada lensa pemuliharaan alam sekitar, pengurusan bencana dan kesihatan awam. Namun, satu aspek yang kurang diperhatikan adalah dampaknya terhadap pembangunan tenaga kerja. Tenaga kerja merupakan aset penting dalam pembangunan ekonomi kerana produktiviti organisasi bergantung pada kesihatan, pengetahuan, kemahiran, motivasi dan keupayaan pekerja melaksanakan tugas dengan berkesan. Persoalannya, sejauh manakah sistem pembangunan tenaga kerja bersedia menghadapi krisis alam sekitar yang semakin kompleks?
Produktiviti buruh atau pekerja tidak dapat diukur hanya berdasarkan jumlah jam yang dihabiskan ditempat kerja atau jumlah pengeluaran yang dihasilkan. Tetapi merupakan interaksi rumit antara kesihatan fizikal, kesejahteraan mental, persekitaran kerja, dan sokongan institusi. Dari perspektif pembangunan modal insan, manusia merupakan aset strategik yang menentukan keupayaan sesebuah negara untuk berkembang secara produktif, inklusif dan mampan. Jika kebakaran hutan mempengaruhi kesihatan pekerja, mengganggu rutin pendidikan sekolah atau institusi, dan mengurangi potensi pendapatan keluarga, akibatnya melampaui kerugian fizikal dan ekonomi jangka pendek.
Dari sudut pembangunan modal insan, ancaman kebakaran hutan yang serius ini boleh difahami melalui tiga dimensi utama termasuk kesihatan fizikal, kesejahteraan psikologi dan sokongan organisasi dalam memperkukuh keupayaan ekonomi untuk mengekalkan produktiviti tenaga kerja.
Dimensi pertama, kesihatan fizikal, merupakan asas langsung kepada keupayaan pekerja melaksanakan tugas. Pendedahan kepada asap kebakaran dan zarah halus boleh mengganggu sistem pernafasan, memburukkan penyakit sedia ada dan menjejaskan keupayaan seseorang untuk menjalankan aktiviti harian. Apabila kesihatan fizikal terganggu, keupayaan pekerja untuk mengekalkan tahap output yang konsisten turut terjejas, terutamanya dalam sektor yang bergantung kepada tenaga kerja fizikal seperti pertanian, pembinaan dan logistik.
Dimensi kedua, kesejahteraan psikologi, merujuk kepada keadaan mental dan emosi pekerja dalam menghadapi ketidakpastian yang berpanjangan. Jerebu bukan sekadar gangguan sementara terhadap persekitaran kerja, tetapi satu keadaan yang menimbulkan kebimbangan berterusan terhadap kesihatan diri dan keluarga, ketidakpastian tentang tempoh pencemaran serta tekanan kewangan akibat kemungkinan kehilangan pendapatan. Tekanan-tekanan ini boleh menjejaskan tumpuan, motivasi dan kepuasan kerja. Dalam jangka panjang, kegagalan menangani tekanan psikologi ini boleh membawa kepada keletihan emosi dan penurunan komitmen terhadap organisasi, yang seterusnya menjejaskan produktiviti secara tidak langsung.
Dimensi ketiga, sokongan organisasi, merujuk kepada sejauh mana organisasi menyediakan sumber, dasar dan kepimpinan yang diperlukan untuk melindungi pekerja ketika krisis alam sekitar berlaku. Sokongan ini merangkumi penyediaan prosedur keselamatan pekerjaan, peralatan perlindungan pernafasan, pengaturan kerja fleksibel, dasar cuti kecemasan serta komunikasi risiko yang jelas dan boleh dipercayai. Organisasi yang gagal menyediakan sokongan tersebut meletakkan beban penyesuaian sepenuhnya kepada pekerja, sehingga mewujudkan jurang antara tanggungjawab individu dan tanggungjawab institusi. Sebaliknya, organisasi yang mempunyai sistem sokongan yang kukuh mampu mengurangkan tekanan pekerja, mengekalkan kepercayaan dan memastikan kesinambungan operasi secara lebih berkesan.
Ketiga-tiga dimensi ini saling berkait dan tidak boleh difahami secara berasingan. Kesihatan fizikal yang terganggu meningkatkan beban psikologi, manakala kelemahan sokongan organisasi memburukkan lagi kedua-dua tekanan fizikal dan mental. Dalam kerangka pembangunan modal insan, keupayaan ekonomi untuk mengekalkan produktiviti tenaga kerja bergantung kepada kemampuan sistem bukan hanya individu dalam mengintegrasikan perlindungan kesihatan, sokongan psikologi dan dasar organisasi yang responsif. Tanpa integrasi ini, krisis alam sekitar seperti jerebu berpotensi menghakis kualiti modal insan secara beransur-ansur, sekali gus melemahkan daya saing ekonomi dalam jangka panjang.
Kesan jerebu tidak ditanggung secara sama rata oleh semua pekerja. Keupayaan melindungi diri bergantung pada jenis pekerjaan, tahap pendapatan, keadaan tempat kerja, akses kepada maklumat dan kemudahan perlindungan kesihatan.
Pekerja profesional yang boleh bekerja dari rumah mempunyai kelebihan dalam melaksanakan tugasan harian. Sebaliknya, pekerja harian, petani kecil, penjaja dan pekerja sektor tidak formal mungkin terpaksa meneruskan pekerjaan walaupun keadaan udara merosot kerana pendapatan mereka bergantung pada kehadiran dan aktiviti harian.
Keadaan ini mewujudkan dilema antara keselamatan kesihatan dengan kelangsungan ekonomi. Menghentikan kerja mungkin melindungi kesihatan, tetapi pada masa yang sama boleh menyebabkan kehilangan pendapatan untuk memenuhi keperluan asas keluarga.
Dari perspektif pembangunan modal insan, kerentanan tersebut menunjukkan bahawa pekerja memerlukan lebih daripada latihan kemahiran. Mereka juga memerlukan akses kepada perlindungan sosial, maklumat risiko, perkhidmatan kesihatan dan peluang pekerjaan yang lebih berdaya tahan.
Pendekatan pembangunan tenaga kerja yang inklusif perlu mengutamakan golongan yang mempunyai pendedahan tinggi dan pilihan adaptasi yang terhad. Tanpa perhatian ini, krisis jerebu berpotensi memperluas jurang pendapatan dan ketidaksamaan peluang pembangunan manusia.
Krisis alam sekitar memperlihatkan bahawa kompetensi tenaga kerja masa kini perlu merangkumi lebih daripada kemahiran teknikal dan profesional. Pekerja dan pengurus juga memerlukan keupayaan mengurus risiko, membuat keputusan berasaskan maklumat, menyesuaikan proses kerja dan bertindak secara berkesan ketika berlaku gangguan.
Bagi pihak pengurusan sumber manusia, situasi jerebu menjadi asas untuk menilai semula kesiapsiagaan organisasi. Adakah organisasi mempunyai prosedur keselamatan pekerjaan ketika pencemaran udara meningkat? Adakah pekerja memahami langkah perlindungan yang sesuai? Adakah penyelia mempunyai panduan untuk menentukan pengubahsuaian tugas, waktu kerja atau lokasi operasi?
Pembangunan kompetensi perlu melibatkan latihan komunikasi risiko, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan kesinambungan perniagaan serta penggunaan teknologi digital. Bagi pekerja lapangan, latihan boleh memberikan penekanan kepada pengenalpastian bahaya, penggunaan perlindungan pernafasan yang sesuai dan prosedur menghentikan kerja apabila keadaan berisiko.
Pengurus pula perlu menguasai kemahiran membuat keputusan berdasarkan data kualiti udara, maklumat kesihatan dan keperluan operasi. Kemahiran kepimpinan juga penting untuk memastikan arahan disampaikan dengan jelas, kebajikan pekerja diberikan perhatian dan keputusan organisasi dilaksanakan secara konsisten.
Pada masa yang sama, organisasi perlu mengelakkan pendekatan yang memindahkan keseluruhan tanggungjawab kepada pekerja. Ketahanan tenaga kerja hanya dapat dibina apabila kompetensi individu disokong oleh sistem kerja, sumber perlindungan, kepimpinan yang bertanggungjawab dan budaya keselamatan yang kukuh
Pembangunan sumber manusia boleh memainkan peranan strategik dalam membantu organisasi mengurus kesan jerebu terhadap produktiviti. Peranan ini melangkaui penyediaan latihan selepas krisis berlaku dan merangkumi persediaan sebelum bencana, tindak balas ketika krisis serta pemulihan selepas keadaan kembali pulih.
Pertama, organisasi perlu melaksanakan analisis keperluan latihan bagi mengenal pasti kumpulan pekerja yang paling terdedah, kompetensi yang diperlukan dan kelemahan dalam prosedur sedia ada. Hasil analisis tersebut boleh digunakan untuk membangunkan latihan yang bersesuaian dengan jenis pekerjaan serta tahap risiko.
Kedua, pelan kesinambungan tenaga kerja perlu disediakan bagi memastikan fungsi penting organisasi dapat diteruskan tanpa mengabaikan keselamatan. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah pengagihan semula tugas, kerja jarak jauh bagi tugas yang sesuai, penjadualan semula aktiviti luar dan penyediaan prosedur operasi ketika kualiti udara merosot.
Ketiga, organisasi perlu membangunkan sistem komunikasi risiko yang mudah difahami dan boleh dipercayai. Pekerja perlu mengetahui sumber maklumat rasmi, langkah perlindungan yang disyorkan dan saluran untuk melaporkan gejala atau keadaan tempat kerja yang tidak selamat.
Keempat, program pembangunan kepimpinan perlu memberikan penekanan kepada pengurusan krisis dan kesejahteraan pekerja. Penyelia bukan sahaja bertanggungjawab mencapai sasaran kerja, tetapi juga perlu mengenal pasti risiko, membuat keputusan yang munasabah dan membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan.
Kelima, penilaian prestasi organisasi ketika krisis perlu mengambil kira petunjuk keselamatan dan kesejahteraan. Selain output dan kehadiran, organisasi boleh menilai tahap kesiapsiagaan, pematuhan kepada prosedur keselamatan, keberkesanan komunikasi dan tempoh pemulihan operasi.
Pendekatan ini membolehkan pembangunan sumber manusia menjadi sebahagian daripada strategi pengurusan risiko organisasi, bukannya fungsi pentadbiran yang hanya bertindak selepas masalah berlaku.
Dalam jangka panjang, penyelesaian terhadap kebakaran hutan memerlukan perubahan dalam cara sumber alam diurus dan tenaga kerja dibangunkan. Pembangunan kemahiran hijau boleh menjadi sebahagian daripada usaha mengurangkan risiko alam sekitar serta mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih mampan.
Antara bidang yang berpotensi ialah pemulihan hutan dan tanah gambut, pertanian mampan, pemantauan alam sekitar, pengurusan sumber air, teknologi geospatial dan pengurusan risiko bencana. Latihan dalam bidang tersebut boleh membantu pekerja memperoleh kompetensi baharu dan memperluas peluang pekerjaan dalam aktiviti pemuliharaan serta ekonomi hijau.
Universiti, institusi latihan, kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama untuk memastikan program latihan sejajar dengan keperluan sebenar industri dan komuniti. Program yang berkesan bukan sahaja menyampaikan pengetahuan, tetapi juga menyediakan pengalaman praktikal, pensijilan yang bersesuaian dan laluan kepada pekerjaan atau peningkatan pendapatan.
Walau bagaimanapun, peralihan kepada pekerjaan hijau perlu dirancang secara adil. Pekerja yang bergantung pada sektor berisiko tidak seharusnya dibiarkan menanggung kos perubahan secara bersendirian. Sokongan latihan, akses kepada pembiayaan, pengiktirafan kemahiran dan perlindungan sosial penting untuk memastikan manfaat pembangunan mampan dapat dinikmati oleh pelbagai kelompok masyarakat.
Dengan demikian, krisis jerebu boleh menjadi dorongan untuk memperkukuh hubungan antara kelestarian alam sekitar, pembangunan kompetensi dan transformasi tenaga kerja.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Perakaunan,
Universiti Malaysia Sabah. Kota Kinabalu, Sabah.
Kebakaran hutan di Indonesia bukan sekadar bencana ekologi, tetapi juga ancaman nyata terhadap pembangunan tenaga kerja dan produktiviti negara. Selama ini, isu ini kerap dilihat melalui lensa pemuliharaan alam sekitar, pengurusan bencana, atau kesihatan awam. Namun, dimensi yang sering terlepas pandang ialah kesannya terhadap modal insan. Produktiviti organisasi sangat bergantung pada kesihatan, mental, dan keupayaan fizikal pekerja. Jerebu berpanjangan menjejaskan kehadiran, prestasi, keselamatan, dan pendapatan isi rumah. Keadaan ini menimbulkan persoalan utama: sejauh manakah sistem pembangunan tenaga kerja kita bersedia menghadapi krisis alam sekitar yang kian kompleks? Produktiviti tidak boleh diukur dari jumlah jam di pejabat semata-mata. Ia lahir daripada gabungan kesihatan fizikal, kesejahteraan psikologi, dan sokongan organisasi. Apabila jerebu menjejaskan kesihatan pekerja, mengganggu persekolahan anak-anak, dan menjejaskan sumber pendapatan, kesannya menghakis pembentukan modal insan dan memburukkan ketidaksamaan sosial jangka panjang. Penyelesaiannya memerlukan pendekatan melepasi pemadaman api dan penguatkuasaan undang-undang. Kita perlu membangunkan kapasiti manusia, mengukuhkan kompetensi pekerja, dan membina daya tahan komuniti. ANCIAMAM TERHADAP MODAL INSAN Ancaman jerebu terhadap modal insan merangkumi tiga dimensi utama: 1. Kesihatan fizikal: Pendedahan kepada asap dan zarah halus merosakkan sistem pernafasan. Pekerja yang terjejas tidak mampu mengekalkan tahap output yang konsisten, terutamanya dalam sektor fizikal seperti pertanian, pembinaan, dan logistik. 2. Kesejahteraan psikologi: Ketidakpastian berpanjangan menimbulkan tekanan emosi, kebimbangan terhadap kesihatan keluarga, dan masalah kewangan. Tekanan ini mengurangkan tumpuan, motivasi, dan kepuasan kerja, yang akhirnya menjejaskan produktiviti. 3. Sokongan organisasi: Keupayaan majikan menyediakan prosedur keselamatan, kelengkapan pernafasan, waktu kerja fleksibel, dan komunikasi risiko yang jelas. Tanpa sokongan ini, beban penyesuaian diletakkan sepenuhnya ke atas bahu pekerja. Ketiga-tiga dimensi ini saling berkait. Kegagalan organisasi menangani isu ini akan menghakis kualiti modal insan dan melemahkan daya saing ekonomi secara beransur-ansur. JURANG KERENTANAN PEKERJA Kesan jerebu tidak sama rata. Pekerja profesional mungkin boleh bekerja dari rumah. Sebaliknya, pekerja harian, petani kecil, dan peniaga sektor informal terpaksa berdepan risiko pencemaran demi kelangsungan hidup. Ini mewujudkan dilema antara kesihatan dan pendapatan. Pekerja berisiko tinggi ini memerlukan lebih daripada latihan kemahiran; mereka memerlukan perlindungan sosial, maklumat risiko, dan akses perkhidmatan kesihatan. Pendekatan pembangunan tenaga kerja mesti mengutamakan golongan yang paling rentan ini. PEMBANGUNAN KOMPETENSI DAN KETAHANAN ORGANISASI Krisis alam sekitar menuntut pekerja dan pengurus mempunyai kemahiran mengurus risiko dan membuat keputusan berasaskan data kualiti udara. Organisasi perlu menyediakan latihan keselamatan, pengurusan kesinambungan perniagaan, dan penggunaan teknologi digital. Bagi pekerja lapangan, latihan harus berfokus pada pengenalpastian bahaya dan penggunaan alat perlindungan. Bagi pengurus, fokus diberikan kepada kepimpinan krisis dan fleksibiliti operasi. Ketahanan tenaga kerja hanya wujud apabila kompetensi individu disokong oleh sistem kerja dan budaya keselamatan yang kukuh. PERANAN PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA (HRD) HRD mesti bertindak secara strategik sebelum, semasa, dan selepas krisis melalui langkah berikut: – Melaksanakan analisis keperluan latihan untuk mengenal pasti kumpulan pekerja terdedah. – Menyediakan pelan kesinambungan tenaga kerja, termasuk kerja jarak jauh dan penjadualan semula aktiviti luar. – Membangunkan sistem komunikasi risiko yang telus dan mudah difahami. – Melatih kepimpinan untuk mengimbangi sasaran kerja dengan kesejahteraan pekerja. – Menilai prestasi organisasi berdasarkan petunjuk keselamatan dan kesiapsiagaan, bukan sekadar kehadiran. PENYELENGGARAAN TENAGA KERJA HIJAU Jangka panjang, kita perlu beralih kepada pembangunan kemahiran hijau dalam bidang pemulihan tanah gambut, pertanian mampan, pemantauan alam sekitar, dan pengurusan risiko bencana. Kerjasama antara universiti, kerajaan, dan industri penting untuk memastikan latihan ini menyediakan laluan kerjaya yang jelas. Peralihan ini mesti adil. Pekerja daripada sektor terjejas perlu diberikan sokongan latihan, pembiayaan, dan perlindungan sosial agar tidak terpinggir. KESIMPULAN Krisis jerebu membuktikan bahawa produktiviti ekonomi berakar pada kualiti persekitaran dan kesihatan modal insan. Pengurusan bencana tidak boleh berhenti pada pemadaman api sahaja, tetapi mesti diintegrasikan dengan pembangunan tenaga kerja, perlindungan sosial, dan peluang pekerjaan hijau. Tenaga kerja yang sihat dan berdaya tahan ialah asas utama kepada pembangunan ekonomi yang mampan.

