Oleh: Dr. Amran Alias
Isu jerebu rentas sempadan yang membelenggu Malaysia dan Indonesia bukanlah sekadar fenomena bermusim yang datang dan pergi. Ia adalah sebuah krisis alam sekitar yang berulang, yang saban tahun mengetuk pintu dengan ancaman yang lebih besar, meresap masuk bukan sahaja ke dalam ruang udara, malah ke dalam sistem kesihatan awam, nadi ekonomi, dan jalinan hubungan diplomatik antara dua negara tetangga ini. Jika tiada langkah yang wajar dan praktikal dilaksanakan secara bersungguh-sungguh, impak yang ditinggalkan oleh jerebu ini akan menjadi semakin parah dan sukar untuk dipulihkan.
Krisis ini tidak boleh lagi dilihat sebagai isu alam sekitar semata-mata. Implikasinya jauh lebih mendalam dan bersifat domino. Apabila indeks pencemaran udara mula mencatatkan bacaan berbahaya, kesannya serta-merta dirasai oleh pelbagai sektor utama. Sektor pelancongan sering kali menjadi mangsa pertama yang menerima tempiasnya. Penerbangan terpaksa dibatalkan kerana jarak penglihatan yang terhad, pusat-pusat tarikan pelancong terpaksa ditutup, dan tempahan hotel menjunam secara mendadak. Semua ini secara kolektif mengakibatkan kerugian yang dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.
Dalam masa yang sama, produktiviti tenaga kerja negara turut lumpuh. Penutupan sekolah memaksa ibu bapa mengambil cuti kecemasan atau bekerja dari rumah, manakala sektor-sektor yang bergantung kepada kerja luar bangunan seperti pembinaan dan pertanian terpaksa menghentikan operasi demi keselamatan pekerja. Keadaan ini secara langsung mengurangkan output ekonomi harian negara dengan signifikan. Beban yang paling berat akhirnya tertanggung di bahu sistem kesihatan awam. Hospital dan klinik di kedua-dua negara menyaksikan lonjakan mendadak pesakit yang menderita masalah respiratori seperti asma dan bronkitis, jangkitan mata, dan pelbagai komplikasi kardiovaskular. Kos rawatan yang meningkat, subsidi ubat-ubatan dan kehilangan hari bekerja akibat masalah kesihatan ini secara keseluruhannya meningkatkan beban ekonomi negara.
Jika ditelusuri punca utama jerebu rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia, ia secara umumnya berpunca daripada dua faktor yang berbeza iaitu kebakaran yang disengajakan oleh aktiviti manusia dan kebakaran secara semula jadi akibat perubahan cuaca. Menangani kedua-dua punca ini memerlukan pendekatan yang sama sekali berbeza, yang merangkumi penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta kajian saintifik dan langkah mitigasi yang komprehensif.
Bagi kebakaran yang disengajakan, keperluan terhadap penghasilan dan penguatkuasaan undang-undang dilihat sebagai sesuatu yang amat mendesak. Sebahagian besar insiden kebakaran hutan dan tanah gambut berpunca daripada tindakan manusia yang sengaja. Kaedah “tebang dan bakar” atau _slash-and-burn_ sering menjadi pilihan syarikat perladangan korporat dan petani kecil kerana ia merupakan cara yang paling murah dan paling pantas untuk membersihkan tanah bagi tujuan pertanian, terutamanya untuk penanaman kelapa sawit dan pulpa. Walaupun kaedah ini mudah untuk dilaksanakan, impaknya terbukti sangat besar sehingga mencetuskan pelbagai isu lain, menyebabkan kerugian wang ringgit yang bukan sedikit, malah keberlangsungannya telah berlanjutan saban tahun tanpa penyelesaian tuntas.
Justeru, bagi menangani isu pembakaran sengaja ini, terdapat keperluan mendesak terhadap penghasilan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat. Pertama, terdapat keperluan untuk Malaysia, Indonesia dan negara serantau yang terkesan menggubal atau memantapkan Akta khusus seperti Undang-Undang Jerebu Rentas Sempadan (ATHA). Akta ini penting bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap syarikat tempatan yang memiliki ladang di luar negara sekiranya mereka didapati menjadi punca kebakaran. Tanpa kewujudan undang-undang ini, usaha untuk menoktahkan isu jerebu ini akan tampak sukar untuk dicapai dan keberlangsungannya akan menjadi lebih tidak terbendung. Kedua, pihak berkuasa Indonesia perlu mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada dengan mengenakan denda yang tinggi, pembatalan lesen operasi, dan hukuman penjara mandatori kepada pesalah korporat bagi memberikan kesan pendedahan atau deterrent effect. Ketiga, kerjasama perundangan di peringkat ASEAN juga perlu diperkasa. Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan perlu diperkukuh dengan mekanisme penguatkuasaan yang mempunyai kuasa mengikat atau legally binding, dan bukan sekadar rundingan diplomatik semata-mata. Hal ini menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dengan keberlangsungan jerebu ini saban tahun yang seolah-olah tiada penghujungnya.
Di samping faktor manusia, kebakaran secara semula jadi turut menjadi penyumbang utama, terutamanya apabila didorong oleh fenomena cuaca ekstrem seperti El Niño dan Dipol Lautan Hindi (IOD) yang membawa kemarau berpanjangan. Dalam keadaan ini, tanah gambut yang mengering akibat suhu tinggi menjadi sangat mudah terbakar, dan apabila api bermula, sama ada akibat panahan kilat atau haba lampau, ia boleh merebak di bawah permukaan tanah selama berbulan-bulan tanpa dapat dikesan.
Bagi menangani aspek kebakaran semula jadi ini, tumpuan perlu diberikan kepada kajian saintifik dan langkah mitigasi. Dalam mendepani isu ketidaktentuan punca dan lokasi tertentu kebakaran tersebut, terdapat keperluan untuk menjalankan kajian saintifik termasuk analisis mikroklimat tanah gambut. Kajian mendalam diperlukan untuk memahami tahap kritikal penurunan paras air bawah tanah yang boleh mencetuskan pembakaran spontan pada lapisan gambut. Selain itu, pemetaan risiko berasaskan data besar juga perlu dilaksanakan dengan menggunakan teknologi satelit dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengkaji corak cuaca, mengesan kawasan titik panas atau hotspot lebih awal, dan meramal kawasan yang paling berisiko mengalami kebakaran alami.
Sehubungan itu, beberapa langkah mitigasi boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan. Langkah mitigasi fizikal yang paling berkesan adalah melalui pemulihan dan pengurusan air tanah gambut atau Peatland Rewetting, iaitu dengan membina sekatan parit atau canal blocking untuk mengekalkan kelembapan tanah gambut supaya ia tidak mudah terbakar secara semula jadi semasa musim kemarau. Seterusnya, sistem amaran awal atau Early Warning System (EWS) perlu diwujudkan dengan menyepadukan data cuaca untuk menyekat sebarang aktiviti berisiko tinggi di kawasan hutan apabila indeks kekeringan mencapai tahap bahaya. Di samping itu, pasukan respons pantas komuniti juga perlu dibentuk dengan melatih komuniti setempat dalam teknik pemadaman awal kebakaran tanah gambut sebelum api merebak menjadi tidak terkawal.
Melangkah ke hadapan, peranan syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia perlu dilihat dari perspektif dua hala. Isu pembakaran sengaja sering kali melibatkan pemilikan tanah ladang yang kompleks. Sebahagian daripada kawasan ladang kelapa sawit di Indonesia diuruskan atau dimiliki oleh syarikat pelaburan atau anak syarikat berkaitan Malaysia, dan situasi ini mewujudkan dinamika diplomatik yang sensitif. Semasa musim jerebu, pihak berkuasa Indonesia kerap menyita atau menyiasat tanah milik syarikat konsesi asing, termasuk yang mempunyai kaitan dengan entiti Malaysia, kerana kesan titik panas atau hotspot di kawasan mereka. Walau bagaimanapun, syarikat korporat sering berhujah bahawa kebakaran tersebut berpunca daripada tindakan petani kecil tempatan di luar sempadan ladang mereka yang merebak masuk, atau tindakan sub-kontraktor pihak ketiga yang melanggar dasar tanpa pembakaran atau zero-burning policy yang telah ditetapkan oleh syarikat induk. Perkara ini sebenarnya semakin mengukuhkan hujah mengapa Malaysia memerlukan Undang-Undang Jerebu Rentas Sempadan. Melalui akta ini, syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara boleh dipertanggungjawabkan di mahkamah tempatan sekiranya gagal membuktikan mereka telah mengambil langkah pencegahan kebakaran yang munasabah di tanah milik mereka.
Bagi kebakaran semula jadi pula, usaha meluaskan kajian saintifik dilihat sebagai amat penting. Data yang lebih mendalam mengenai struktur tanah amat diperlukan. Pemetaan topografi tanah gambut menggunakan teknologi LiDAR atau Light Detection and Ranging kini dilihat sebagai kunci utama. Teknologi ini membolehkan penyelidik mengukur kedalaman kubah gambut atau peat dome dan memantau sistem hidrologi tanah secara tepat, sekali gus membantu meramal zon kritikal yang memerlukan pengairan buatan sebelum musim kemarau bermula.
Sebagai kesimpulannya, krisis jerebu antara Malaysia dan Indonesia tidak akan pernah selesai sekiranya kita hanya menuding jari apabila asap mula melintasi sempadan. Penyelesaian jangka panjang menuntut komitmen politik yang tinggi untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pelaku pembakaran sengaja, di samping pelaburan dalam kajian saintifik dan langkah mitigasi bagi mendepani kebakaran semula jadi akibat perubahan iklim. Hanya melalui kerjasama erat dan tindakan yang berasaskan sains, ruang udara serantau dapat dibebaskan daripada ancaman jerebu yang berterusan ini.
Penulis adalah Mantan Felo Pasca Siswazah, Graduate School of Business, Universiti Sains Malaysia

