Wednesday, 07 October 2026
Cuaca Jakarta Memuat cuaca...
Opini October 6, 2026 Redaktur 8 menit baca

Super El-Nino dan Jerebu Nusantara: Memperkasa Teknologi Geospatial dan Kerjasama ASEAN untuk Menghadapi Krisis Iklim

Oleh: Gs. Dr. Syarifuddin bin Misbari

Asia Tenggara kini berhadapan dengan satu lagi peringatan bahawa perubahan iklim, fenomena cuaca ekstrem dan aktiviti manusia tidak lagi boleh dilihat sebagai isu yang terpisah. Perkembangan El-Nino yang semakin menguat pada 2026 telah meningkatkan kebimbangan terhadap cuaca panas dan perubahan corak hujan di rantau ini. Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) melaporkan pada Julai 2026 bahawa El-Nino dijangka terus menguat, dengan kemungkinan suhu melebihi normal di banyak kawasan dunia serta perubahan ketara terhadap corak hujan. Namun begitu, istilah “Super El-Nino” bukanlah klasifikasi rasmi WMO. Pihak WMO menggunakan kategori seperti lemah, sederhana, kuat dan sangat kuat. Istilah tersebut lebih banyak digunakan dalam laporan media untuk menggambarkan episod El Nino yang luar biasa kuat.


Bagi Asia Tenggara, cabaran menjadi lebih kompleks apabila keadaan panas dan kering bertembung dengan masalah pengurusan tanah, pembukaan kawasan pertanian, pengeringan tanah gambut dan kebakaran hutan. ASEAN Climate Outlook Forum telah memberi amaran bahawa keadaan suhu melebihi normal dijangka berlaku di sebahagian besar Asia Tenggara, manakala beberapa kawasan Maritime Continent berpotensi menerima hujan di bawah normal. Walaupun kekuatan El-Nino tidak semestinya menentukan magnitud impak di setiap lokasi, keadaan panas dan kering lazimnya meningkatkan risiko kebakaran apabila terdapat sumber pencucuhan dan bahan api yang mencukupi. Perkembangan kebakaran di Kalimantan pada tahun 2026 ini menunjukkan bagaimana fenomena iklim boleh bergabung dengan faktor manusia lalu menghasilkan krisis rentas sempadan. Pada Ogos 2026, ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) mengaktifkan Alert Level 3 bagi kawasan selatan ASEAN selepas mengesan aktiviti titik panas yang ketara di Kalimantan dan Sumatera serta asap tebal yang bergerak merentasi sempadan. Pada 24 dan 25 Ogos, masing-masing 287 dan 190 titik panas dikesan di Kalimantan berdasarkan pemerhatian satelit NOAA-20. ASMC turut menyatakan bahawa keadaan kering yang berterusan bersama pengukuhan El-Nino boleh meningkatkan lagi risiko jerebu rentas sempadan atau lintas negara.


Asap tidak mengenal sempadan politik. Pergerakan angin boleh membawa partikulat dan bahan pencemar daripada kawasan kebakaran di Kalimantan ke Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Singapura, bergantung kepada keadaan atmosfera. Pada September 2026, laporan mengenai episod jerebu menunjukkan beberapa kawasan di Sarawak mengalami kemerosotan kualiti udara yang serius akibat asap daripada kebakaran di Kalimantan. Keadaan ini memberi gambaran jelas bahawa krisis alam sekitar di satu negara ASEAN boleh menjadi krisis kesihatan, ekonomi dan sosial di negara jiran. Impaknya terhadap kesihatan adalah antara yang paling segera. Pendedahan kepada zarah halus dan bahan pencemar daripada pembakaran terbuka boleh meningkatkan risiko masalah pernafasan, khususnya kepada kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit berkaitan sistem respiratori. Namun, kesan jerebu jauh lebih luas daripada isu kesihatan. Sekolah dan aktiviti luar boleh terganggu, operasi penerbangan dan pengangkutan berpotensi terjejas, produktiviti pekerja boleh menurun dan sektor pelancongan boleh menerima kesan apabila destinasi yang sepatutnya menawarkan udara bersih, pemandangan dan aktiviti luar diselubungi asap. Dalam konteks ekonomi Nusantara yang saling berhubung, kesan tersebut boleh bergerak melalui rantaian bekalan, mobiliti manusia dan aktiviti perdagangan.


Kesan terhadap alam sekitar juga tidak boleh dipandang ringan. Kebakaran hutan dan tanah gambut bukan sahaja memusnahkan vegetasi dan habitat biodiversiti, malah melepaskan karbon yang tersimpan dalam biojisim dan tanah. Tanah gambut yang telah dikeringkan menjadi sangat mudah terbakar dan kebakaran bawah permukaan boleh berlarutan serta sukar dipadamkan. Dalam keadaan kemarau, masalah ini menjadi lebih serius kerana kelembapan tanah berkurangan dan sumber air untuk operasi pemadaman turut menjadi terhad. Oleh itu, penyelesaian kepada masalah jerebu tidak boleh hanya tertumpu kepada memadamkan api selepas kebakaran berlaku; kita perlu beralih kepada pencegahan, pengesanan awal, pemantauan berterusan dan pengurusan risiko berasaskan data.


Di sinilah teknologi geospatial mempunyai peranan yang sangat besar. Pada pandangan saya, Asia Tenggara sebenarnya sudah mempunyai sebahagian besar teknologi yang diperlukan untuk membina sistem amaran awal kebakaran dan jerebu yang lebih pintar. Satelit boleh digunakan untuk mengesan titik panas hampir masa nyata, memantau perubahan litupan bumi, menilai keadaan vegetasi dan tanah, mengesan kawasan yang mengalami tekanan kekeringan serta menjejaki pergerakan asap. NASA FIRMS, sebagai contoh, menggunakan data MODIS dan VIIRS untuk menyediakan data kebakaran aktif dan anomali terma secara hampir masa nyata. Data tersebut boleh dimuat turun dan diintegrasikan ke dalam platform Geographical Information System (GIS) untuk analisis dan pemetaan. Lebih penting, ASEAN sendiri telah mempunyai infrastruktur pemantauan yang sangat bernilai melalui ASMC. Portal ASMC menyediakan imejan satelit hampir masa nyata, laporan titik panas dan model penyebaran asap. Satelit NOAA-20 dan Suomi NPP digunakan untuk memantau kebakaran serta keadaan atmosfera, manakala model penyebaran digunakan untuk mengunjurkan pergerakan asap dan kepekatan particulate matter (PM10). Hal ini bermakna asas teknologi sebenarnya sudah tersedia. Cabaran kita bukan lagi semata-mata mendapatkan data, tetapi bagaimana data tersebut diterjemahkan menjadi keputusan yang pantas, tepat dan boleh diambil tindakan.
Cadangan pertama saya ialah ASEAN membangunkan ASEAN Integrated Geospatial Fire and Haze Intelligence Platform yang menggabungkan data satelit, cuaca, GIS, data lapangan dan model atmosfera dalam satu platform serantau. Setiap negara boleh berkongsi lapisan data yang dipersetujui, termasuk titik panas, kawasan kebakaran, litupan hutan, tanah gambut, kawasan konsesi, jalan, penempatan dan infrastruktur kritikal. Sistem ini kemudiannya boleh menghasilkan peta risiko harian yang menunjukkan bukan sahaja lokasi kebakaran, tetapi juga ke mana asap berpotensi bergerak dan komuniti mana yang mungkin terjejas dalam tempoh 24 hingga 72 jam.


Cadangan kedua ialah memperluaskan penggunaan dron sebagai teknologi sokongan di lapangan. Satelit sangat berkesan untuk liputan kawasan yang luas, tetapi resolusinya dan kekerapan pemerhatian mempunyai batas tertentu, khususnya ketika awan tebal atau apabila kebakaran berlaku di kawasan kecil. Dron yang dilengkapi kamera RGB, multispectral, thermal atau LiDAR boleh digunakan untuk pemeriksaan terperinci kawasan hotspot, pemetaan sempadan kebakaran, penilaian kerosakan vegetasi, pengesanan kawasan gambut yang terdedah dan pemantauan keberkesanan operasi pemadaman. Dron juga boleh digunakan sebelum musim kebakaran untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan selepas kebakaran untuk mengukur tahap kemusnahan serta menyokong program pemulihan.
Cadangan ketiga ialah membangunkan digital twin atau spatial digital database bagi kawasan berisiko tinggi. Setiap kawasan kritikal seperti tanah gambut, hutan simpan, kawasan pertanian dan konsesi boleh mempunyai rekod spatial yang sentiasa dikemas kini. Data sejarah kebakaran, perubahan guna tanah, kelembapan, hujan, suhu permukaan, topografi dan aktiviti manusia boleh dianalisis menggunakan GIS dan kecerdasan buatan untuk mengenal pasti corak kawasan yang berpotensi terbakar. Pendekatan ini akan mengubah strategi daripada “fire response” kepada “fire prevention and risk anticipation”.
Teknologi geospatial juga boleh membantu menentukan siapa yang perlu bertindak dan bila tindakan perlu dilakukan. Apabila sistem mengesan hotspot di kawasan gambut, contohnya, maklumat tersebut boleh disepadukan dengan data arah angin, penempatan penduduk, sekolah, hospital, lapangan terbang dan kawasan pelancongan. Sistem kemudiannya boleh menghasilkan risk alert mengikut tahap keutamaan. Hal ini membolehkan pihak berkuasa kesihatan membuat persediaan awal, agensi bencana mengatur sumber, pihak berkuasa tempatan mengehadkan aktiviti luar dan sektor pelancongan memberikan maklumat kepada pengunjung. Peta bukan lagi sekadar produk visual, namun ia menjadi alat membuat keputusan.


Namun teknologi sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. ASEAN telah mempunyai ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP) sejak 2002, yang berkuat kuasa pada 2003 dan telah diratifikasi oleh semua negara anggota ASEAN. Perjanjian tersebut memang bertujuan mencegah, memantau dan mengurangkan kebakaran hutan serta pencemaran jerebu rentas sempadan melalui usaha nasional dan kerjasama serantau. Persoalannya sekarang ialah bagaimana kerangka tersebut boleh diperkukuh dengan perkongsian data geospatial yang lebih pantas, telus dan boleh digunakan secara operasi. Saya mencadangkan ASEAN bergerak ke arah satu konsep “One ASEAN, One Haze Intelligence System”. Negara anggota tidak perlu menyerahkan semua data sensitif, tetapi sekurang-kurangnya berkongsi data asas yang diperlukan untuk amaran awal dan pengurusan bencana: hotspot, smoke plume, arah angin, indeks pencemaran, kawasan gambut, kawasan terbakar dan ramalan penyebaran asap. Universiti dan institusi penyelidikan pula boleh menjadi rakan teknologi yang membangunkan algoritma, analitik AI, model risiko dan sistem sokongan keputusan tanpa mengambil alih fungsi agensi kerajaan.


Pada masa yang sama, kerjasama ASEAN perlu diperluaskan daripada respons ketika krisis kepada pengurusan sebelum, semasa dan selepas kebakaran. Sebelum musim kering, negara boleh menjalankan pemetaan risiko dan audit kawasan mudah terbakar. Semasa musim kebakaran, sistem satelit dan dron boleh digunakan untuk pengesanan awal dan pengurusan operasi. Selepas kebakaran, teknologi remote sensing boleh mengukur kehilangan hutan, degradasi tanah, pemulihan vegetasi dan pelepasan karbon. Pendekatan ini akan mewujudkan satu kitaran pengurusan yang lengkap: detect – predict – respond – recover – prevent. Akhirnya, isu El-Nino dan jerebu di Nusantara harus menjadi pemangkin kepada perubahan cara kita melihat keselamatan serantau. Perubahan iklim bukan lagi sekadar isu suhu dan hujan. Ia mempunyai kesan langsung terhadap kesihatan manusia, keselamatan makanan, bekalan air, tenaga, biodiversiti, ekonomi, pelancongan dan kesejahteraan masyarakat. Teknologi geomatic dan geospatial yang antaranya terdiri daripada satelit, unmanned aerial vehicle (UAV), LiDAR, GIS, kecerdasan buatan hingga pemodelan atmosfera telah memberikan kita kemampuan untuk melihat risiko tersebut secara spatial dan hampir masa nyata. Namun, teknologi hanya akan benar-benar berkesan apabila disokong oleh perkongsian data, tadbir urus yang kukuh, penguatkuasaan undang-undang dan kepercayaan antara negara.


Cadangan saya adalah jelas: ASEAN perlu membina sistem pengurusan kebakaran dan jerebu berasaskan geospatial intelligence yang dikongsi bersama, memperkukuh penggunaan satelit dan dron di lapangan, serta menghubungkan data alam sekitar dengan data kesihatan, infrastruktur dan sosioekonomi. Kita tidak boleh menghalang El-Nino daripada berlaku, tetapi kita boleh mengurangkan kerentanannya terhadap masyarakat Nusantara. Kita juga tidak boleh menghapuskan semua risiko kebakaran, tetapi kita mampu mengesan api lebih awal, meramalkan arah asap dengan lebih tepat, menggerakkan sumber dengan lebih pantas dan mencegah kebakaran daripada menjadi bencana rentas sempadan. Dalam menghadapi iklim yang semakin tidak menentu, masa depan keselamatan ASEAN bergantung bukan sahaja kepada bagaimana kita bertindak balas terhadap bencana, tetapi sejauh mana kita mampu meramal, berkongsi maklumat dan bertindak bersama sebelum krisis menjadi lebih besar.

Penulis adalah Director Centre for Climate Resilient Infrastructure (CCRI) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Malaysia

Penulis

Redaktur

Kontributor Media Civitas.

Lihat semua tulisan

Tinggalkan Komentar

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Komentar akan tampil setelah disetujui moderator.