Thursday, 01 October 2026
Cuaca Jakarta Memuat cuaca...
Dunia September 30, 2026 Redaktur 5 menit baca

Cuaca Panas, Kemarau dan Perubahan Iklim: Isyarat Krisis yang Tidak Wajar Dipandang Ringan

Oleh: Prof Madya Ts. Dr. Nurul Nadrah Aqilah bt Tukimat

Malaysia semakin terdedah kepada episod cuaca panas dan kering yang berpanjangan, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan. Walaupun kebakaran hutan di negara ini jarang berlaku pada skala yang sangat besar, perubahan corak cuaca, peningkatan suhu, kekurangan hujan serta episod El Niño boleh mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pencetusan dan penyebaran kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut, hutan sekunder, belukar dan kawasan yang mengalami perubahan guna tanah.


Situasi di Pahang menunjukkan bahawa risiko ini bukan sekadar bersifat teori. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang merekodkan sebanyak 1,003 kes kebakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2026, melibatkan kawasan seluas kira-kira 2,721.88 hektar, iaitu peningkatan sekitar 52 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya. Pada Ogos 2026, kebakaran hutan seluas kira-kira 4.05 hektar dilaporkan berlaku berhampiran kawasan perumahan Seri Mahkota Damai, Kuantan.


Kejadian besar turut direkodkan pada tahun 2025 apabila kira-kira 76 hektar kawasan ladang di sekitar Jalan Pintasan Kuantan–Sungai Ular berhampiran Gebeng terbakar. Operasi pemadaman berdepan cabaran akibat angin kuat, cuaca panas dan keadaan tanah yang kering. Setahun sebelumnya, sekitar 30 hektar kawasan hutan tanah gambut di Inderapura, Kuantan dilaporkan terbakar, manakala faktor kemarau, angin kencang dan sifat tanah gambut yang mudah terbakar dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyukarkan operasi pemadaman. Siri kejadian ini menunjukkan bahawa apabila suhu tinggi, kekurangan hujan, dan aktiviti manusia bertemu dalam satu keadaan, risiko kebakaran boleh meningkat dengan cepat, terutama di kawasan yang mempunyai bahan organik mudah terbakar dan akses pemadaman yang terhad.


Keadaan panas melampau bukanlah sesuatu yang asing bagi Malaysia, terutama ketika penghujung Monsun Timur Laut dan semasa Monsun Barat Daya. Namun, kebimbangan timbul apabila suhu tinggi berlaku secara berterusan bersama taburan hujan yang rendah. Pada tahun ini, suhu di beberapa kawasan merekodkan peningkatan secara drastik sehingga mencecah 38°C pada bulan Mac manakala jumlah hujan bulanan disesetengah kawasan berada di bawah paras purata normal akibat pengaruh fenomena cuaca kering dan peralihan iklim.


Pada masa yang sama, Malaysia turut berhadapan dengan episod jerebu rentas sempadan yang membimbangkan. Sehingga September 2026, beberapa kawasan di negara ini merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat, malah sebahagian kawasan mencatatkan bacaan sangat tidak sihat. Risiko ini menjadi lebih kompleks apabila Malaysia dipengaruhi oleh fenomena El Niño. Fenomena tersebut lazimnya dikaitkan dengan pengurangan hujan dan peningkatan suhu di negara ini. Dalam satu analisis mengenai Sungai Pahang, keadaan kering bermusim turut dikaitkan dengan variabiliti iklim berskala besar termasuk El Niño, yang berpotensi mengurangkan hujan dan mempercepatkan penurunan paras air Sungai sedia ada.


Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila peningkatan suhu turut meningkatkan kadar penyejatan dan evapotranspirasi. Akibatnya, sungai, tasik, takungan dan kelembapan tanah kehilangan air dengan lebih cepat. Peningkatan suhu yang disertai kekurangan hujan boleh mempercepatkan penyusutan sumber air, sekali gus memberi kesan kepada bekalan air, sektor pertanian dan aktiviti industri.


Walau bagaimanapun, ancaman kebakaran hutan tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan faktor cuaca. Aktiviti manusia turut memainkan peranan yang besar. Penyahutanan, pembersihan tanah dan perubahan guna tanah boleh mengurangkan perlindungan vegetasi semula jadi serta mengganggu keseimbangan hidrologi sesuatu kawasan. Aktiviti-aktiviti ini juga boleh meningkatkan hakisan dan mengubah keadaan permukaan tanah. Dalam keadaan kering, kawasan yang telah terganggu atau mempunyai banyak sisa tumbuhan menjadi lebih mudah terbakar berbanding kawasan hutan yang masih mengekalkan kelembapan dan struktur vegetasi yang baik. Kesan kebakaran pula tidak terhenti pada kehilangan pokok atau kawasan hijau, tetapi boleh mencetuskan rantaian impak terhadap kualiti udara, kesihatan manusia, ekosistem dan ekonomi. Dalam keadaan tertentu, satu bencana boleh mencetuskan bencana yang lain apabila kebakaran hutan membawa kepada jerebu, kemerosotan sumber air dan gangguan terhadap ekosistem serta kehidupan masyarakat.


Persoalan yang lebih besar ialah sama ada peningkatan kejadian panas dan kering ini hanya variasi cuaca semula jadi atau sebahagian daripada perubahan iklim jangka panjang. Unjuran model iklim menjangkakan trend peningkatan suhu akan berterusan, manakala evapotranspirasi juga berpotensi meningkat. Pada masa yang sama, peningkatan kepekatan gas rumah hijau akibat aktiviti manusia menyumbang kepada pemanasan global. Penggunaan bahan api fosil dalam penghasilan tenaga turut menjadi antara sumber utama pelepasan karbon dioksida. Apabila suhu asas iklim menjadi lebih tinggi, episod panas dan kering boleh memberi kesan yang lebih besar berbanding dahulu.
Justeru, pengurusan risiko kebakaran hutan perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan yang lebih menekankan aspek pencegahan dan kesiapsiagaan. Pemantauan awal melalui sistem pengesanan titik panas, indeks cuaca kebakaran dan Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS) yang diperkenalkan oleh MetMalaysia amat penting bagi menilai risiko kebakaran hutan serta menyokong pengurusan kebakaran yang lebih berkesan. Maklumat ini perlu digabungkan dengan data hujan, suhu, kelembapan tanah, guna tanah dan keadaan vegetasi bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta membolehkan tindakan pencegahan dilaksanakan lebih awal.


Di peringkat komuniti pula, pendidikan mengenai larangan pembakaran terbuka, pengurusan sisa tanaman dan pelaporan awal kebakaran amat penting. Kawasan berisiko tinggi memerlukan sumber air dan akses pemadaman yang mencukupi. Pendekatan berasaskan alam semula jadi seperti pemulihan kawasan terosot, penanaman semula vegetasi dan perlindungan zon riparian juga membantu mengekalkan kelembapan landskap serta meningkatkan daya tahan ekosistem.


Secara keseluruhannya, krisis kebakaran hutan tidak boleh dilihat sebagai peristiwa yang berdiri sendiri. Ia merupakan hasil interaksi antara suhu tinggi, kekurangan hujan, kemarau, El Niño, perubahan guna tanah dan perubahan iklim. Malaysia mungkin tidak dapat menghalang semua episod panas atau kemarau daripada berlaku, tetapi risiko kebakaran dan kesannya boleh dikurangkan melalui pemantauan awal, pengurusan landskap, penggunaan sumber secara berhemah dan peningkatan kesedaran masyarakat.


Kita mungkin tidak mampu mengawal cuaca, tetapi kita masih mampu mengurangkan kemungkinan “bencana di dalam bencana” dengan bertindak sebelum titik panas kecil bertukar menjadi kebakaran besar, jerebu, kehilangan sumber air dan kerosakan ekosistem yang lebih sukar dipulihkan.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Malaysia Pahang Malaysia

Penulis

Redaktur

Kontributor Media Civitas.

Lihat semua tulisan

Tinggalkan Komentar

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Komentar akan tampil setelah disetujui moderator.